Monday, October 15, 2012

untuk sekian kalinya..ana menulis lagi...

salam semua... erm..dh lame ana xmnulis cerpen...jom kte lyn cerpen ana..hrp enjoy...


‘ Aku Tak Bodoh La…’

Dia memandang ke arah luar tingkap. Kelihatan kenderaan bergerak laju di atas jalan. Kadang-kadang kepalanya  terangguk-angguk perlahan akibat daripada goncangan bas yang agak kuat. Dia mencebik keras. Protes dengan tindakan pak cik bas yang memandu bas agak laju. Mata dia juga tidak lepas memandang setiap kenderaan yang lalu di hadapannya. Jarinya bergerak-gerak seperti sedang mengira bilangan kenderaan. Tiba-tiba dia membelek-belek jarinya sambil meniru gaya abang Salleh dalam cerita Upin dan Ipin. “jari-jemari Salleh.” Dia tergelak sendiri. Tiba-tiba terdengar hilai tawa dari belakang. Rakan-rakannya sedang ketawakannya. Dia terleka. Tidak sedar. Rupa-rupanya dari tadi dia sedang diperhatikan. Dia malu sendiri. Wajahnya direndahkan. Dia malu lagi. Lantas dia mengambil langsir di tepi tingkap bas. Menyembunyikan wajah cekungnya. “Adib. Jangan buat macam tu. Langsir tu kotor,” tegur cikgu Ina. Adib menjawab laju, “kawan-kawan ketawakan adib cikgu.. Cikgu Ina tersenyum panjang lantas menasihati Adib lagi. Dia juga khuatir Adib akan mengamuk jika tidak diberitahu dengan baik. Cikgu Ina menyusun kata. Akhirnya cikgu Ina bersuara, “ Adib, rakan-rakan Adib bukan ketawakan Adib, tetapi kawan suka cara Adib buat tadi. Sama macam abang Salleh. Nanti bila dah besar, boleh la adib jadi pelakon macam Aaron Aziz, sebab Adib pandai tiru gaya orang,” ujar cikgu Ina cuba membodek. Cikgu Sinah menyampuk, “ Lagi bagus kalau Adib jadi macam Zizan Razak. Lagi sesuai”. Seloroh cikgu Sinah. Semua orang di dalam bas ketawa. Adib hanya mampu tersengih.
Tiba-tiba bas memasuki satu selekoh dan berhenti. Akhirnya, dia sudah sampai di Agro Setiu Resort. Lehernya panjang mendongak ke arah luar tingkap bas. Memerhatikan setiap sudut kawasan Agro tersebut. “Wah, cantiknya.” Ujar Adib di dalam hati. Pertama kali dalam hidupnya, dia menyertai aktiviti perkhemahan. Dia gembira mendapat cikgu seperti cikgu Ina. Walaupun dia tidak sempurna seperti murid-murid lain di sekolahnya, cikgu Ina melayan dia sama dengan murid-murid normal. Rakan-rakan yang dibawa oleh cikgu Ina untuk menyertai perkhemahan juga senasib dengannya. Malahan ada juga yang lebih teruk. Dia paling sedih apabila melihat Zatul dengan Haziq. Haziq mengalami masalah pendengaran. Manakala, Zatul pula terencat akal. Dia? Dia sakit apa. Dia autik.. ops salah sebut. Autistik la.. hehehehe. Dia bersyukur kerana Allah masih memberi-Nya peluang untuk hidup walaupun dia tidak sempurna. ‘Alhamdulillah!!!’ Tanpa disedari, kalimah Allah terkeluar dari bibirnya. Berkali-kali dia menyebutnya. Dia tersentak apabila cikgu Ina memanggilnya turun. ‘Ish..cikgu Ina ni..aku baru jer nak layan perasaan. Kacau daun betul la. Air mata aku dah nak mengalir tadi.  Tup-tup masuk balik ke dalam,’ desus Adib di dalam hati. Dia menuruni anak tangga bas dengan laju. Dia memunggah beg yang dibawanya ke tapak perkhemahan. Cikgu Ina mengarahkan dia dan rakan-rakan untuk berkumpul kerana kem komander akan mengadakan sedikit taklimat berkaitan dengan perkhemahan dan peraturan-peraturan yang perlu dia dan rakan-rakan perlu patuhi semasa aktiviti sedang berlangsung. Setelah mendengar arahan dan dibahagikan kepada 3 buah kumpulan, dia diarahkan untuk memasang khemah bersama-sama rakan sekumpulan yang lain dengan bantuan cikgu-cikgu pengiring.
Dia menuju ke tapak perkhemahan. Adib menjerit kuat ke arah rakan-rakan yang lain sambil memberitahu arahan dan cara-cara untuk memasang khemah. Gelagatnya sama seperti ucapan kem komander sebentar tadi. Rakan-rakannya ketawa. Sama juga dengan cikgu pengiring mereka, iaitu cikgu Sarah. Cikgu Sarah telah membantu mereka untuk memasang khemah. Cikgu Sarah mula mengarahkan mereka untuk membuka khemah supaya senang untuk dipasang. Setelah khemah siap dipasang kem komander mengarahkan dia dan rakan-rakan untuk mendirikan solat kerana pada pukul 5 petang aktiviti yang pertama akan dimulakan.
Tepat jam 5 petang, kem komander telah berada di tapak perhimpunan kawasan perkhemahan. Berdiri di sebelah kem komander adalah cikgu Ina, cikgu Sarah, cikgu Akma, dan cikgu Sinah. Semua orang di kawasan tapak itu beratur dengan tertib mengadap ke arah kem komander. Begitu juga dengan Adib. Aktiviti pertama akan bermula iaitu sukaneka. Kem komander memberi taklimat kecil dan mula menjalankan aktiviti sukaneka. Antara aktiviti yang dijalankan ialah lari dalam guni, isi air dalam botol, dan aktiviti tradisional, menarik pelepah kelapa. Adib sangat menggemari aktiviti menarik pelepah kelapa kerana aktiviti ini juga diminati oleh Upin dan Ipin. Pada waktu malam, kem komander telah menjalankan aktiviti burung hantu di mana setiap kumpulan akan dilepaskan ke dalam hutan dengan bantuan seorang instructor. Seorang instructor akan menunjukkan arah kepada setiap kumpulan.  Mereka tidak diberi lampu sebagai alat bantuan penglihatan. Suasana yang gelap menyebabkan bulu roma Adib berdiri tegak. Terbayang cerita-cerita yang pernah dilihatnya dalam TV. Tiba-tiba ranting kayu terjatuh. Adib terkejut, pantas dia berlari dan tangannya memeluk Pak Nik yang berjalan laju di hadapan. Dia terketar-ketar. Seluarnya basah. Dia tidak tahu sama ada dia berpeluh kuat atau dia terkencing. Rakan-rakan adib mula bising. “Pak Nik, bau apa ni..busuknya”, laung Faiz, salah seorang ahli kumpulannya. Pak Nik hanya ketawa keras melihat keletah anak-anak itu.
            Keesokan hari, gempar seluruh perkhemahan bahawa Adib terkencing. Dia hanya berdiam diri sepanjang hari. Malu dengan tindakan spontannya malam tadi. Pada hari tersebut, kem komander menjalankan aktiviti pertandingan memasak dan pada waktu petang aktiviti berkayak. Semasa berkayak, setiap peserta akan dibantu oleh seorang instructor. Instructor hanya akan berjaga di belakang, manakala peserta akan mengayuh sendiri kayak. Orang pertama yang mewakilkan diri untuk aktiviti berkayak adalah Adib. Dia melangkah ke hadapan dengan penuh bangga dan memasuki perut kayak. Dia mengambil pengayuh dan mula mengayuh. Pada mulanya, kayak yang dinaiki oleh Adib berpusing di tempat yang sama. Kemudian, dia mengayuh kuat lagi untuk mengerakkan kayak. Air tasik memercik ke arah muka dia. Dia kalut sendiri. Instructor di belakang Adib ketawa dan mula membantu. Akhirnya, adib berjaya juga mengayuh kayak. Ketika itu bajunya telah basuh kuyup. Bukan kerana dia terkencing lagi, tetapi di sebabkan percikan air yang masuk ke dalam kayak akibat dari kayuhannya tadi.
Pada malam terakhir perkhemahan, cikgu-cikgu mengarahkan semua peserta untuk mengadakan persembahan. Begitu juga dengan Adib. Adib sudah lama bersedia kerana dia sangat gemar menyanyi. Tiba giliran kumpulan Adib, Adib dan rakan-rakan mula bergerak ke hadapan tempat untuk membuat persembahan. Adib selaku ketua kumpulan bertanggungjawab untuk memegang mikrofon. Kemudian mereka mula menyanyi. Semua orang senyap. Termasuk cikgu-cikgu mereka. “wah, sedap juga suara aku ni;” Adib memuji diri sendiri di dalam hati. Semasa adib sedang menyanyi, tiba-tiba cikgu Ina datang ke arah Adib dan rakan-rakan sambil bertanya, “Adib tak buka suis mikrofon ke? Cikgu tak dengar pun suara kamu menyanyi.” Adib terkejut. Dia malu lagi. “Alamak. Macam mana boleh tak buka suis ni… baru nak tunjuk bakat Anuar Zain yang ada pada aku ni. Tak jadi la aku nak tunjuk bakat aku dekat Zatul,” cetus Adib di dalam hati. Adib membuka suis mikrofon dan membuat persembahan sekali lagi. Walaupun pada awalnya persembahan adib dan rakan-rakan tidak sempurna, tetapi dia tetap ingin menghiburkan rakan-rakannya yang lain. Keesokan hari, semua orang pulang dengan senyuman yang penuh bermakna walaupun wajah masing-masing kepenatan. Begitu juga dengan Adib. Adib tersenyum puas membawa sebuah kenangan yang terindah dalam diari hidupnya. Kini, dia sudah bergelar mekanik di salah sebuah workshop di sekitar bandar raya Kuala Lumpur. Dia akan tersenyum sendirian apabila mengingati kisah “autistiknya”. Inilah kisah Adib si budak Autistik. Kisah kamu macam mana???

No comments:

Post a Comment